Monday 17 September 2012

PENGENALAN PROJEK


PENGENALAN


 Pembelajaran Berasaskan Projek (Project Based Learning - PBL) merupakan salah satu kaedah yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran. PBL mendedahkan murid dengan pengintegrasian kemahiran generik, teknologi peralatan, teknologi perisian, kemahiran literasi maklumat dan juga kemahiran mengurus.

            Untuk menjayakan pengintegrasian kemahiran ini, mata pelajaran Kajian Tempatan Tahun 5 telah dipilih. Tajuk yang telah dipilih ialah Keindahan Negara Kita. Berdasarkan subtopik flora dan fauna, projek yang akan dijalankan ini memberi tumpuan kepada kepelbagaian spesies tumbuh-tumbuhan semulajadi yang terdapat di negara kita.

            Murid perlu menjalankan kajian secara ilmiah terlebih dahulu sebelum mereka dibawa untuk melihat spesies-spesies tumbuhan semulajadi yang terdapat di hutan negara kita. Mereka akan mendapatkan maklumat mengenai hutan hujan tropika Malaysia dan tumbuh-tumbuhannya di internet, perpustakaan dan melalui lawatan. Antara tempat yang akan mereka lawati ialah unit pengembangan dan pendidikan Jabatan Perhutanan Negeri, Negeri Sembilan dan juga Taman Botanikal Melaka.

            Dengan kerjasama Jabatan Perhutanan lagi, murid-murid akan dibawa melawati kawasan hutan simpan berhampiran untuk melihat sendiri pelbagai spesies yang boleh mereka temui. Mereka juga akan mengambil gambar-gambar yang berkaitan dan juga contoh-contoh tumbuhan yang mereka temui dengan bantuan kakitangan Jabatan Perhutanan. Contoh-contoh tumbuhan ini akan mereka keringkan untuk dijadikan artifak yang akan digunakan sebagai salah satu bahan pameran ketika pembentangan. Mereka juga perlu mendapatkan maklumat tentang nama, nama spesies, famili dan beberapa lagi maklumat tambahan mengenai tumbuhan yang berjaya dikumpulkan.

            Minggu-minggu yang seterusnya, apabila semua bahan dan maklumat telah diperolehi, murid-murid akan memindahkan maklumat tersebut dalam bentuk folio. Kemudian, mereka juga perlu menghasilkan persembahan dalam bentuk Power Point dan mempersembahkan hasil kerja mereka di hadapan guru-guru dan juga rakan-rakan mereka untuk dinilai. Persembahan hasil kerja mereka akan diiringi dengan bahan-bahan pameran yang telah mereka hasilkan seperti gambar-gambar, contoh-contoh tumbuhan, brosur, dan beberapa lagi bahan yang lain.

            Setelah dinilai, murid-murid yang membuat persembahan hasil kerja yang terbaik akan dipilih untuk menyertai pertandingan. Mereka akan menambah baik hasil kerja mereka supaya dapat disesuaikan dengan pertandingan yang akan disertai.

No comments:

Post a Comment